Negeri Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Songkhla Thailand di sebelah utara dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat pada 20 Mei 1843 apabila Siam melantik Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis. Bermula dari tarikh itu, Perlis yang asalnya sebuah daerah jajahan Kedah bertukar menjadi sebuah negeri naungan yang berdaulat. 

Negeri Perlis atau ungkapan yang paling tepat iaitu “Negeri Permai Lagi Mempesona”, menggambarkan keindahan dan kedamaian negeri Perlis. Berbekalkan Landskapnya yang menghijau dan permai, menawarkan sesuatu yang menarik buat pencinta kedamaian alam, salah satunya ialah :

Tasik Melati merupakan sebuah tasik kecil yang memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir. Jambatan disediakan merentasi tasik ini untuk memberi ruang kepada pelawat menikmati pemandangan indah tasik yang berlatar belakangkan kehijauan dan gunung-ganang ini.

Selain itu,Taman Rekreasi ini juga merupakan lokasi yang patut dilawati untuk anda yang sukakan aktiviti memerhatikan burung kerana di sini terdapat pelbagai jenis burung dalam pelbagai warna yang terbang bebas.

Bagi kanak-kanak pula, terdapat taman permainan disediakan untuk mereka berseronok. Di samping itu, terdapat juga laluan refleksologi di mana anda dapat melancarkan perjalanan darah sambil menghirup udara segar sekitar kawasan tasik. Cara yang sempurna untuk menghabiskan hari minggu bersama keluarga bukan?

Alamat: Taman Rekreasi Tasik Melati, Kangar

https://goo.gl/maps/11Ud6jZ9JCABpGwq7

Waktu Operasi: Setiap Hari 

Bayaran Masuk: Percuma

Negeri Perlis ini sangat sesuai untuk pengunjung dan pelancong yang ingin mengalami gaya hidup yang tenang dan percutian yang santai kerana Perlis kaya dengan alam semulajadi. Dengan suasana kedesaan dalam keindahan hutan dan gua atau sawah yang menghijau, ia boleh menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan juga luar. Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia.