Negeri Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Songkhla Thailand di sebelah utara dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat pada 20 Mei 1843 apabila Siam melantik Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis. Bermula dari tarikh itu, Perlis yang asalnya sebuah daerah jajahan Kedah bertukar menjadi sebuah negeri naungan yang berdaulat. 

Negeri Perlis atau ungkapan yang paling tepat iaitu “Negeri Permai Lagi Mempesona”, menggambarkan keindahan dan kedamaian negeri Perlis. Berbekalkan Landskapnya yang menghijau dan permai, menawarkan sesuatu yang menarik buat pencinta kedamaian alam, salah satunya ialah :

Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua yang unik di Malaysia dengan kepanjangan gua batu kapurnya 370 meter. Jambatan kayu yang berkelebaran 8 kaki adalah satu-satunya jalan yang anda boleh lalui untuk menikmati pemandangan di dalam Gua Kelam. Bunyi air yang menitis daripada stalaktit akan menemani anda sepanjang perjalanan.

Fenomena semula jadi iaitu sungai bawah tanah yang mengalir di dalam gua ini adalah air yang menuju ke Sungai Perlis.

Pasti anda terpesona dengan keindahan gua ini, tapi, tunggulah sehingga anda sampai ke sebuah taman di hujung perjalanan anda dalam gua ini, sungguh indah dan sesuai untuk dijadikan tempat berehat setelah jauh berjalan.

Alamat: Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis 

https://goo.gl/maps/GDnGxriQn9Fw3Q1q8

Waktu Operasi: Setiap Hari ( 9.00am – 6.00pm )

Bayaran Masuk: Dewasa RM1 | Kanak-kanak RM0.50

Negeri Perlis ini sangat sesuai untuk pengunjung dan pelancong yang ingin mengalami gaya hidup yang tenang dan percutian yang santai kerana Perlis kaya dengan alam semulajadi. Dengan suasana kedesaan dalam keindahan hutan dan gua atau sawah yang menghijau, ia boleh menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan juga luar. Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia.