Negeri Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Songkhla Thailand di sebelah utara dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat pada 20 Mei 1843 apabila Siam melantik Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis. Bermula dari tarikh itu, Perlis yang asalnya sebuah daerah jajahan Kedah bertukar menjadi sebuah negeri naungan yang berdaulat. 

Negeri Perlis atau ungkapan yang paling tepat iaitu “Negeri Permai Lagi Mempesona”, menggambarkan keindahan dan kedamaian negeri Perlis. Berbekalkan Landskapnya yang menghijau dan permai, menawarkan sesuatu yang menarik buat pencinta kedamaian alam, salah satunya ialah :

Taman Herba Perlis yang berkeluasan 12 hektar ini terletak bersebelahan dengan Hutan Lipur Bukit Ayer dan Taman Ular dan Reptilia.  Taman Herba Perlis ini berfungsi sebagai bank genetik untuk sekitar 1200 jenis tumbuhan herba. Anda sekeluarga bukan sahaja dapat melihat dan menyentuh tumbuhan ini tapi boleh juga mengambil peluang untuk merasa tumbuhan-tumbuhan berkhasiat ini asalkan tak merosakkan pokok. 

Di sinilah anda dapat melihat di depan mata sendiri pokok-pokok yang terkenal dalam perubatan masyarakat tempatan seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali, Mengkudu,  Selasih dan banyak lagilah. Bermacam ilmu tentang khasiat-khasiat tumbuhan yang dapat anda sekeluarga pelajari, banyaklah petua yang anda dah tahu andai kata sesiapa dalam keluarga anda tak sihat kan?

Alamat: Rimba Herba Perlis, Kangar, Perlis

https://goo.gl/maps/RG99rmFA9vFc45e98

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm) |Jumaat Tutup Sementara 

                           Dari 12.15pm –     2.45pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM1 | Kanak-kanak & Pelajar RM0.50

Negeri Perlis ini sangat sesuai untuk pengunjung dan pelancong yang ingin mengalami gaya hidup yang tenang dan percutian yang santai kerana Perlis kaya dengan alam semulajadi. Dengan suasana kedesaan dalam keindahan hutan dan gua atau sawah yang menghijau, ia boleh menjadi tarikan kepada pelancong tempatan dan juga luar. Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia.