Bagi pencinta alam di Malaysia, Pahang mungkin salah satu negeri yang wajib untuk anda terokai. Terlalu banyak destinasi dengan kepelbagaian tarikan yang mungkin belum diterokai oleh pengunjung sepenuhnya.

Seperti yang anda semua tahu, Pahang adalah negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia menjadikan landskap negeri ini amat luas dengan perkampungan lama yang penuh kehijauan, hutan yang tebal, sungai dan pantai yang cantik serta kawasan tanah tinggi yang sejuk.

Anda tidak akan dapat melihat kecantikan Pahang dalam satu perjalanan sahaja, tetapi anda boleh menerokai tarikan utama yang berbeza-beza setiap kali anda memutuskan untuk ke sini, salah satu tempat yang menarik di Pahang ini iaitu :

Gunung Senyum yang terletak di Felda Jengka 25, Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486 meter (1,594 kaki). Gunung Senyum mempunyai hutan Dipterokarp Bukit ( kawasan hutan yang terdapat di ketinggian antara 300-750 meter dari paras laut yang merupakan kelas hutan yang terluas di Semenanjung Malaysia. Spesies utama ialah pokok Seraya, pokok Keruing dan pokok Merati.

Terdapat banyak flora atau tumbuhan herba di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang memiliki 25 gua dengan pelbagai nama unik dan klasik. Antara gua menarik di sini ialah Gua Terang Bulan, Gua Kelam dan Gua Jebak Puyuh. Gua-gua di sini dibawah jagaan Perhilitan. Antara gua yang menjadi pilihan pengunjung ialah Gua Tapa, Gua Gudang Kelawar, Gua Kolam Tujuh, Gua Batu Merlap, Gua Kambing, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Gong dan Gua Danau Impian. Selain itu, terdapat juga Gua Mayat, Gua Rangkak, Gua sisik, dan Gua Ular.

Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul Gunung Senyum ini. Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda. Namun, tidak ada seorangpun yang tahu mengenainya sebaliknya para pembesar tersebut hanya mampu tersenyum. Bagi mengelak rasa malu dengan Orang Besar Pahang yang ada bersamanya, baginda menamakannya Gunung Senyum kerana gelagat pegawai istananya yang asyik tersenyum.

Gunung Senyum terletak berhampiran Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut. Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Dari kajian arkeologi, hutan lipur ini dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia zaman Mesolitik.

Pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengunjungi gua ini yang berkonsepkan “ecotourism”. Aktiviti tersebut adalah berkhemah, meneroka gua-gua, berjalan malam dan aktiviti lasak seperti mendaki. Dalam aktiviti “jungle trekking” ke Gunung Jebak Puyuh, pengunjung boleh menikmati keindahan hutan asli semulajadi. 

Alamat: Pejabat Hutan Daerah Temerloh, 28000, Temerloh, Pahang, Jengka Reserve Forest Kuala Krau

https://goo.gl/maps/Xotp1xWnPu7Dn7zV7

Bayaran kemasukan : Dewasa RM2.00 | Kanak-kanak RM1.00